26 Disember 2010 - 20:30

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhasrat membina sebuah penjara khusus untuk penganut ajaran sesat di negara ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Menurut laporan berita Malaysiakini.com, Mohamad Rais Rashid, ketua penolong pengarah bahagian urusan penguatkuasan JAIS berkata, pihaknya bimbang ajaran sesat akan tersebar jika ditempatkan bersama banduan lain.

"Mereka (pengikut ajaran sesat) sepatutnya diasingkan dan tidak berkongsi sel dengan banduan yang lain kerana kita bimbang golongan ini akan mempengaruhi akidah mereka (banduan) kelak".

Katanya lagi kepada wartawan Malaysiakini, "Biarlah mereka ditempatkan bersama-sama dengan mereka (pengikut) sahaja".

Menurutnya lagi, kewujudan pusat tahanan ajaran sesat ini bakal memudahkan pihaknya melaksanakan program pemulihan akidah.

Sementara itu akhbar Kosmo melaporkan JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyiasat beberapa laman web dan blog yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Ahlusunnah Wal Jamaah.

Salah satu laman blog yang disiasat adalah milik seorang penulis novel terkenal kerana dikatakan cuba menyebarkan fahaman Syiah menerusi laman blognya.

Kemungkinan besar penulis yang dimaksudkan itu ialah Dr. Faisal Tehrani, seorang penulis novel Sunni terkenal yang pernah meraih Anugerah Seni Negara 2006 daripada kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Dr. Faisal Tahrani adalah seorang ahli akademik dan penyelidik yang bersimpati terhadap Syiah. Dalam blog beliau (http://tehranifaisal.blogspot.com), Dr Faisal sambil memohon doa keselamatan saudara-saudara bermazhab Syiah beliau turut menyifatkan serbuan JAIS terhadap Hawzah Imam Ridha (a.s.) baru-baru ini mengancam citra Malaysia di peringkat antarabangsa.

Berita ini dalam bahasa Parsi: http://www.abna.ir/data.asp?lang=1&id=218647